Smile

Follower List - Join my blog clik here

Friday 14 September 2012

Utus surat kali kedua

Sept - 2012 Kerajaan mengutus surat rasmi buat kali kedua kelmarin bagi memohon kepada kerajaan Arab Saudi menambah kuota 10,000 jemaah Malaysia sebelum musim haji bermula tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata kerajaan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan tambahan kuota itu, malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak turut sama membantu dengan menghubungi pihak berkuasa Arab Saudi bagi menyelesaikan perkara ini.

Katanya, beliau turut meluahkan hasrat berkenaan dalam pertemuannya dengan Mufti Masjidil Haram, Sheikh Suleiman As-Salumi dan tokoh ulama, Sheikh Abdullah Al-Jalaly di pejabatnya di Putrajaya, kelmarin.
“Kerajaan sudah mengutus surat buat kali kedua kelmarin memandangkan tiada jawapan daripada kerajaan Arab Saudi berhubung penambahan kuota berkenaan.

“Kuota sedia ada sebanyak 28,000 orang dan kita mohon lagi 10,000 kuota untuk jemaah Malaysia. Kita akan tunggu jawapan daripada kerajaan Arab Saudi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Dewan Serbaguna Guar Chempedak, di sini, semalam.

Malaysia sebelum ini pernah memohon penambahan kuota haji 10,000 orang berbanding kuota terkini dibenarkan kerajaan Arab Saudi 28,000 orang.
Kumpulan pertama kira-kira 400 jemaah Malaysia dijangka berlepas ke Tanah Suci pada 17 September ini, manakala penerbangan terakhir pada 29 Oktober ini. Jamil berkata, isu jemaah umrah Malaysia tinggal lebih masa di Makkah baru-baru ini turut memberi kesan kepada penilaian kerajaan Arab Saudi dalam meluluskan kuota tambahan berkenaan.

“Saya berharap jemaah haji negara ini yang bakal berangkat ke Tanah Suci menjaga tingkah laku dan mengikut peraturan yang ditetapkan Tabung Haji (TH) bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.
“Saya harap mereka juga tidak terbabit dalam mana-mana perhimpunan yang boleh menimbulkan syak pihak berkuasa Arab Saudi yang mentakrifkannya sebagai perhimpunan haram,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pembunuhan Duta Amerika Syarikat ke Libya, J Christopher Stevens, 52, yang didakwa didalangi kumpulan militan negara itu kerana membantah penerbitan filem menghina Nabi Muhammad, Innocence of Islam, dikhuatiri menyebabkan ketegangan masyarakat dunia.

“Kes pembunuhan Duta Amerika Syarikat itu walaupun tidak wajar, namun apabila sesuatu pegangan agama dihina ia mampu menimbulkan kemarahan dan dizahirkan dalam bentuk tindakan melampau seperti yang menimpa Duta Amerika Syarikat itu.

“Untuk itu saya ingatkan pegangan agama masing-masing harus dihormati. Bagi konteks Malaysia yang kini menyaksikan transformasi undang-undang dengan orang bebas menyatakan perasaan mereka, ia bagaimanapun harus dikawal dan jangan keluar daripada batas kawalan yang diizinkan demokrasi,” katanya.

No comments:

Post a Comment