Smile

Follower List - Join my blog clik here

Friday 14 September 2012

Rukun haji


BAGI mereka yang mengerjakan haji, salah satu perkara yang sangat penting untuk mereka kerjakan ialah rukun haji. Selain daripada wajib-wajib haji, rukun haji sangat-sangat penting dalam amalan haji.
Ia hendaklah dilaksanakan oleh jemaah haji, jika tidak ditunaikan, sama ada dengan sengaja atau terlupa atau tidak dilaksanakan atau dilaksanakan tetapi tidak sempurna maka hajinya juga tidak sah.
Jemaah haji dinasihatkan supaya belajar tentang rukun-rukunnya secara terperinci agar dapat dilaksanakan ibadat haji dengan keyakinan bahawa perkara yang dibuat itu sempurna. Rukun haji ialah;

1. Niat Ihram Haji
Niat ihram haji ini dilafaz dan berniat dalam hati ingin mengerjakan haji dengan lafaz "Sahaja aku mengerjakan haji dan aku berihram dengannya kerana Allah SWT" (untuk Haji Tamattuk dan Haji Ifrad). Manakala lafaz "Sahaja aku mengerjakan haji dan umrah serentak dengannya aku berihram haji dan umrah kerana Allah SWT" (bagi mereka yang mengerjakan Haji Qiran). Dengan lafaz ini, maka bermulalah amalan haji.
Jemaah haji perlu menjaga perkara-perkara wajib haji seperti larangan dalam ihram (perkara yang dilarang dalam masa mereka berada dalam ihram sehinggalah mereka tahallul). Lafaz atau niat ihram boleh dilakukan walaupun tanpa dalam keadaan berwuduk (bersuci) seperti mereka yang berada dalam haid dan lain-lainnya kerana lafaz niat haji tidak disyaratkan dalam keadaan bersuci.
Sememangnya lafaz itu disebutkan semasa atau sebelum melintas miqat. Bagi mereka yang sudah berada di Tanah Suci Mekah maka miqatnya di Mekah itu sendiri dan semestinyalah jemaah haji tersebut berpakaian ihram. Jika jemaah haji datang dari luar Mekah, ia mestilah berniat ihram di tempat arah mereka datang. Contohnya, kalau dari Madinah tempat miqat ialah di Bir Ali (Zulhulaifah). Kalau dari Malaysia dan terus memasuki Mekah, miqatnya ialah di Qarnul Manazil.

2. Wukuf di Padang Arafah
Wukuf bermaksud berhenti atau berada di Padang Arafah pada masa yang ditetapkan. Wukuf sangat penting kerana Nabi SAW bersabda: "Haji itu mesti berwukuf di Arafah". Fahaman daripada itu bererti jemaah haji yang sudah berpakaian ihram dan berniat ihram mesti berada atau pergi ke Padang Arafah. Jika tidak, hajinya tidak sah kerana ia adalah rukun haji. Wukuf di Arafah bermaksud mesti berada di Arafah walaupun seketika dalam sebarang keadaan dari masa gelincir matahari (masuk waktu Zuhur) pada 9 Zulhijjah sehingga masuk waktu Subuh pada 10 Zulhijjah.
Pada hari tersebut, jemaah haji disunatkan untuk memperbanyakkan amal ibadat kepada Allah SWT seperti; solat sunat, berdoa, berzikir dan lain-lainnya. Berdoa di Arafah adalah salah satu tempat yang mustajab kita berdoa. Tidak disunatkan bagi mereka yang mengerjakan haji berpuasa pada hari Arafah.

3. Tawaf Rukun Haji
Tawaf rukun haji merupakan rukun haji yang ketiga selepas daripada niat ihram haji dan wukuf di Padang Arafah. Tawaf bermaksud mengelilingi Kaabah di Baitul Haram sebanyak tujuh pusingan, bermula di penjuru Hajarul Aswad dan berakhir pada sudut yang sama menurut syarat-syarat tertentu.
Tawaf pada asasnya mempunyai tujuh jenis iaitu; tawaf qudum (tawaf selamat datang), tawaf rukun umrah, tawaf rukun haji, tawaf sunat, tawaf nazar, tawaf wada' (tawaf selamat tinggal), tawaf tahiyatul al-bait dan tawaf tahallul.
Kesemua kelakuan atau perbuatan tawaf adalah sama cuma yang membezakan jenis tawaf adalah dari segi niat sahaja. Jadi, apa yang dimaksudkan di sini adalah tawaf rukun haji.

4. Sa'ie
Apa yang dimaksudkan dengan sa'ie ialah berjalan ulang-alik di antara Bukit Safa dan Bukit Marwah menurut syarat-syaratnya:-
nHendaklah dilakukan selepas melaksanakan Tawaf Qudum (bagi mereka yang masuk Mekah untuk melakukan Haji Qiran dan Ifrad) atau selepas tawaf haji. Bagi mereka yang masuk Mekah dengan niat ihram umrah, Tawaf Qudum terjadi dengan serentak bersama tawaf rukun umrah.
nMesti bermula di Bukit Safa dan berakhir di Bukit Marwah. Jangan mula di tengah-tengah antara Safa dan Marwah
nCukup tujuh (7) ulang-alik dengan yakin bermula di Bukit Safa ke Bukit Marwah dikira satu kali dan di Bukit Marwah ke Bukit Safa dikira sekali.
nHendaklah sampai ke penghujung tempat sa'ie di kaki Bukit Marwah dan kaki Bukit Safa pada setiap pusingan (untuk mengetahui di mana kaki Bukit Safa dan Marwah pada masa sekarang ini, jemaah haji perlu lihat berakhirnya pagar untuk kerusi roda).
nHendaklah dilakukan di tempat yang telah ditentukan oleh Allah SWT.
nMengekalkan niat sa'ie kerana Allah SWT
nSelain itu, terdapat amalan sunat sa'ie seperti baca doa, memasuki tempat sa'ie melalui Pintu Bukit Safa dan lain-lainnya (rujuk Buku Panduan Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah TH).

5. Bercukur atau Bergunting
Apa yang dikehendaki di sini ialah menanggalkan rambut di kepala sekurang-kurangnya tiga helai rambut. Jika tiada rambut di kepala, boleh hanya melalukan pisau cukur di kepala sebagai menandakan kita telah bercukur/ bergunting. Waktu bagi jemaah haji boleh bercukur atau bergunting ialah selepas waktu separuh malam 10 Zulhijjah.

6. Tertib pada kebanyakan rukun
Rukun yang keenam ini dimaksudkan rukun-rukun haji hendaklah dilakukan mengikut tertib pada kebanyakan rukun iaitu didahulukan niat ihram haji dari rukun-rukun yang lain. Didahulukan wukuf dari tawaf rukun dan didahulukan tawaf dari sa'ie. Tetapi sa'ie haji boleh dipilih untuk dikerjakan sebelum wukuf atau selepas wuquf dengan syarat mereka melakukan haji ifrad atau haji qiran dan dilakukan selepas tawaf qudum.

No comments:

Post a Comment