Smile

Follower List - Join my blog clik here

Friday 14 September 2012

Kecelakaan besar


SETELAH Allah SWT menyampaikan tanda peringatan dan ancaman kepada orang kafir bahawa hari keputusan itu pasti berlaku dan Dia bersumpah kepada mereka dengan para Malaikat-Nya yang terdekat dengan para rasul-Nya yang suci bahawa hari itu pasti akan berlaku. Pada hari itu terdapat kengerian-kengerian yang tidak dapat difahami hakikatnya kecuali oleh Allah sahaja Yang Maha Mengetahui segala yang ghaib.
Oleh itu Allah SWT menambahkan perkara itu dengan menakut-nakutkan mereka bahawa Dia telah membinasakan orang yang kafir sebelum mereka, kerana kekafiran mereka. Apabila kamu menempuh jalan mereka, maka kamu pun akan mendapat balasan seperti balasan yang didapati mereka dan kamu juga akan diseksa di dunia dan di akhirat.
Kemudian Allah SWT mengakhiri perkara itu dengan memperingatkan mereka tentang keingkaran mereka terhadap kebaikan-Nya kepada mereka, kerana Dia telah menciptakan mereka daripada setitis air yang hina di dalam rahim dalam tempoh waktu tertentu, lalu Dia membentuk mereka menjadi makhluk lain. Kemudian Dia menjadikan pendengaran, penglihatan dan hati agar mereka mensyukuri segala nikmat-Nya yang dikurniakan kepada mereka.
Akan tetapi mereka telah mengkufurkannya, mengingkari keesaan-Nya dengan menyembah berhala dan patung. Kemudian Allah SWT mengingatkan mereka tentang segala nikmat-Nya yang terdapat di setiap tempat kerana Dia telah mencipta bumi untuk mereka dan dapat menampung mereka sama ada yang mati atau yang hidup.
Seterusnya Dia menjadikan bumi itu dengan gunung-ganang agar bumi tidak bergoncang bersama mereka. Dia juga menjadikan padanya sungai-sungai dan mata air-mata air agar mereka dapat minum daripadanya air tawar yang segar. Maka mereka menerima azab dan kehinaan kerana mengingkari nikmat-nikmat yang besar ini.
Firman Allah SWT: Bukankah kami Telah membinasakan orang-orang yang dahulu? (al-Mursalat: 16)
Al-Maraghi berkata: "Bukankah Kami telah membinasakan orang yang mendustakan para rasul sebelum kamu, dan Kami seksa pula mereka di dunia dengan pelbagai azab seperti ditenggelamkan sebagaimana yang berlaku kepada kaum Nabi Nuh a.s, dengan gempa bumi sebagaimana yang berlaku kepada kaum Nabi Lut a.s dan contoh-contoh serupa yang telah menimpa umat sebelum kamu sebagai balasan terhadap keburukan amalan perbuatan mereka."
Ibnu Kathir berkata: "Yakni dalam kalangan orang-orang yang mendustakan para rasul serta menentang apa yang dibawa oleh para rasul tersebut kepada mereka."
Sayid Qutub berkata: "Demikianlah umat-umat terdahulu yang ramai itu kelihatan gugur binasa dengan satu pukulan Ilahi."
Firman Allah SWT: Lalu kami iringkan (azab kami terhadap) mereka dengan (mengazab) orang-orang yang datang kemudian. (al-Mursalat: 17)
Al-Maraghi berkata: "Kami timpakan pula perkara yang sama terhadap orang lain yang sama dengan mereka. Seterusnya Kami kenakan terhadap mereka apa yang Kami kenakan terhadap orang yang sebelum mereka, kerana mereka itu melakukan perbuatan yang sama dengan perbuatan orang yang sebelum mereka."
Ibnu Kathir berkata: "Iaitu daripada orang-orang yang seumpama dengan mereka."
Sayid Qutub berkata: "Dan dengan satu pukulan Ilahi yang lain, gugur dan binasa pula umat-umat yang datang selepas mereka."
Firman Allah SWT: Demikianlah kami berbuat terhadap orang-orang yang berdosa. (al-Mursalat: 18)
Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya sunah Kami terhadap orang yang berdosa adalah sama. Apabila Kami telah membinasakan orang terdahulu kerana dosa dan pendustaan mereka maka Kami pun membinasakan orang yang terkemudian (yang mengikut langkah dan menempuh jalan mereka), kerana sunah Kami berjalan dengan satu model."
Sayid Qutub berkata: "Itulah undang-undang Allah SWT yang tidak dapat dihindari. Dan ketika manusia yang berdosa itu menduga akan menerima balasan kebinasaan seperti yang diterima oleh umat-umat terdahulu dan umat-umat yang datang selepas mereka."
Firman Allah SWT: Kecelakaan yang besarlah pada hari itu bagi orang-orang yang mendustakan. (al-Mursalat: 19)
Al-Qurtubi berkata: "Azab dan kehinaan yang disebut dalam surah ini diulang banyak kali pada setiap ayat untuk orang yang mendustakan sesuatu, kerana Dia memberikan azab dan kehinaan itu di antara mereka menurut kadar pendustaan mereka. Seterusnya diberikan azab kepada setiap pendusta tidak termasuk azab yang dikenakan kerana pendustaan yang lain."
Sayid Qutub berkata: "Seruan yang mendoakan kebinasaan dan janji azab yang mengancam dengan kemusnahan."

No comments:

Post a Comment