Smile

Follower List - Join my blog clik here

Friday 14 September 2012

Biar bertudung mengikut syarak


PELBAGAI jenis fesyen tudung membanjiri pasaran dan dipakai wanita Muslimah di negara ini. Alhamdulillah, kesedaran menutup aurat semakin difahami kebanyakan umat Islam kerana ia perintah Allah dan Rasul.
Firman Allah dalam surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud: “Dan janganlah menampakkan perhiasan (aurat) kecuali pada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka atau anak-anak lelaki mereka atau anak-anak suami mereka...” 
Cuma, persoalannya, apakah wanita yang memakai tudung ini tahu secara mendalam hakikat kewajipan yang ditentukan syarak itu?

Ramai wanita memakai tudung ketika bekerja di pejabat, tetapi di halaman rumah, mereka tidak mempedulikan tudung dan membiarkan aurat dilihat orang ramai yang bukan mahram.

Ada juga memakai tudung bagi memenuhi cita rasa fesyen semasa atau memenuhi istiadat rasmi seperti ke masjid dan mahkamah.

Lucu apabila ada wanita yang bertudung, tetapi memakai baju lengan pendek yang menampakkan aurat.

Lebih dahsyat, mereka memakai tudung, tetapi nyayian dan lagu sering didendangkan di khalayak umum.

Apakah mereka faham perbuatan itu dilarang Islam?

Nabi Muhammad s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya wanita itu aurat, apabila mereka keluar maka syaitan akan menghiasinya.” (HR Tirmidzi)

Sebelum memerhatikan orang lain, lihat diri sendiri dan keluarga terdekat, apakah sempurna cara berpakaian, tahu bahagian mana aurat yang patut ditutup.

Tidak guna menutup di atas, tetapi membuka di bawah, seolah-olah mahu memperlekehkan ajaran Islam.

Tudung adalah lambang kesempurnaan seorang wanita yang menutup aurat. Tetapi apakah sekadar memakai tudung sudah dianggap sempurna dalam menutup aurat?

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka mengenakan (dan melabuhkan) jilbab (pakaian) mereka ke seluruh tubuh mereka, dengan demikian itu supaya mereka lebih mudah untuk dikenal dan dengan itu mereka tidak diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun Maha Penyayang.” (Surah al-Ahzab, ayat 59)

Allah sudah menjelaskan dalam al-Quran dan melalui pesuruh-Nya, Nabi Muhammad s.a.w bahawa menutup aurat adalah wajib bagi setiap wanita yang baligh.

Tiada pilihan kedua bagi mereka melainkan taat dan akur di atas seruan Allah itu.

Alangkah beruntungnya wanita yang bertudung kerana mereka mematuhi perintah Allah kerana ganjarannya amat besar selain mendapat keredaan Ilahi.

Ramai wanita sebelum ini tidak bertudung dan menutup aurat, tetapi apabila Allah mencampak hidayah-Nya dalam hati mereka, ada yang insaf dan kembali kepada agama.

Kadangkala mereka yang ingin berubah ini berhadapan pelbagai ujian yang mencabar keimanan seperti diperli, kehilangan kawan atau dituduh dengan pelbagai dakwaan yang tidak masuk akal.

Inilah di antara perasaan yang ditiupkan syaitan kepada hati-hati insan yang melihat kelebihan kebaikan pada insan lain. Mereka tidak mampu melakukan kebaikan itu, tetapi tidak suka apabila orang lain mendahului kebaikan berkenaan.

Tudung dipakai bukan suka-suka kerana perintah agama bukanlah boleh diperolok-olokkan kerana mana mungkin seorang yang memakai tudung hari ini, membukanya pada hari lain.

Mana mungkin tudung yang dipakai, tetapi jarang dan ketat. Ini termasuk dalam memperolok-olokkan agama dan diancam Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda, maksudnya: “…perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada maksiat. Rambutnya sebesar bonggol unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga serta tidak dapat mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian.” (Hadis Riwayat Muslim)

Jika pelakon dan artis menjadi acuan dalam bertudung, rugilah niat itu. Jika bertudung sekadar mengikut orang lain, kita tetap rugi kerana menjadi pak turut atau bertudung tetapi tidak solat, lagi rugi.

Tudung dipakai bagi menutup aurat, bukan membungkus aurat. Jika kepala kita dibungkus dengan tudung sehingga ke bahu sahaja tetap dikira tidak menutup aurat. Bahkan yang lebih bahayanya, orang lain mengikuti kita dan disangka ini cara syar’i menutup aurat.

Jika isteri Nabi dan Sahabat dijadikan idola dalam bertudung dan menutup aurat, pasti tiada sebarang syubhat dan kekeliruan. Adalah sunnah dan mendapat pahala mencontohi isteri Nabi dan Sahabat dalam berpakaian daripada mencontohi artis, model dan pelakon filem yang serba kekurangan.

Isteri Nabi dan Sahabat sering berpakaian labuh (jubah/abaya) berwarna gelap seperti hitam dan kelabu. Mereka menutup kepala hingga ke bawah paras dada mereka dengan dahi dan wajah yang tertutup kecuali kedua mata.

Bukanlah suatu kewajipan berniqab pada sisi agama, tetapi berniqab ini menjadi kesukaan dalam kehidupan seharian mereka. Memilih yang terbaik adalah amalan isteri Nabi dan Sahabat.

Mereka juga tidak mengenakan wangian ketika keluar melainkan untuk suami mereka, pakaian mereka itu tidak ketat, tidak jarang dan tidak syuhrah (bermegah), mereka berpakaian dengan menyelisihi pakaiannya orang musyrik dan kafir, sentiasa labuh sejengkal pakaian bagi menutupi kaki mereka.

Tidak cara lain untuk mengetahui bagaimana fesyen dan pakaian isteri Nabi dan Sahabat melainkan membaca hadis dan riwayat mengenai mereka. Terlalu banyak manfaat dan faedah yang boleh dicedok wanita yang berhasrat mendekati fesyen isteri Nabi dan sahabiyah ini.

Andai kita membuka hati perihal pakaian mereka melalui pembacaan, mendengar kuliah dan penelitian yang ikhlas mencari wajah Allah, insya-Allah pasti kita merasakan tiadalah kenikmatan dalam bertudung dan menutup aurat melainkan mencontohi mereka.

Ramai berubah diberikan hidayah Allah disebabkan meluangkan sedikit masa mencari kebenaran dalam bertudung dan menutup aurat ini.

Jaga-jagalah orang yang memperlekehkan wanita yang menjaga auratnya dengan sempurna setelah Allah berikan hidayah kepadanya.

Perhatikan juga orang yang menutup aurat dan sempurna tudungnya dari memperkatakan sesuatu yang dimurkai Allah. Sesungguhnya hak Muslimah yang menutup aurat dihormati manakala hak yang belum menutup aurat didakwahi dan didoakan.

Jika ditanya kepada kita, untuk siapa tudung itu dipakai, jawablah kerana Allah yang bersemayam di atas arasy dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala. 

No comments:

Post a Comment