Smile

Follower List - Join my blog clik here

Friday 14 September 2012

Permata Tanah Haram


Sayyid Ahmad Zaini Dahlan

IMAM al 'Allamah al Muhaddith Syeikh al Islam Syihab al Din Abu al Abbas Ahmad Zaini Dahlan al Hasani al Syafii al Makki Dilahirkan di Mekah pada 1232 Hijrah. Keluarga Dahlan di Mekah merupakan keluarga Ahli Bait daripada zuriat Saidina Hasan bin Ali yang masyhur dengan kemuliaan ilmu, amal dan nasab. Mereka juga adalah jaguh-jaguh terhandal dalam lapangan tarbiah dan dakwah.
Beliau dibesarkan dalam persekitaran keimanan dan ketakwaan di Mekah. Sejak kecil lagi beliau telah menghafaz al-Quran dan matan-matan ilmu Islam sebagaimana tradisi penuntut di Masjidil Haram suatu ketika dahulu.

Permata
Bakat dan kecerdikannya yang luar biasa itu telah menampilkan beliau sebagai permata yang berkilauan di Tanah Haram serta kebanggaan umat Islam. Disebabkan ketinggian ilmu dan kedudukannya itu, beliau telah ditabalkan sebagai syeikh dan mufti bagi mazhab Syafi'i di Mekah pada zamannya.
Kemahirannya dalam bidang ilmu Islam mencakupi pelbagai bidang sehingga beliau dinobatkan sebagai al muarrikh (sejarawan) dan al muhaddith (pakar hadis).
Beliau memiliki kekuatan hafazan yang luar biasa terhadap hadis sehingga ulama pada zaman tersebut menyifatkan hafazannya bagi Sahih al-Bukhari seumpama hafazan surah al-Fatihah.
Kehebatannya itu terhasil daripada kesungguhannya menuntut ilmu daripada para ulama. Antara para guru yang telah mencurahkan ilmu kepadanya ialah Syeikh Muhammad Said al Maqdisi, Syeikh Ali Surur al Makki, Syeikh Abdullah Siraj al Makki al Hanafi, Syeikh Hamid al 'Attar dan ramai lagi.
Dari sudut ijazah pula beliau turut meriwayatkan daripada al Wajih Abdurrahman al Kuzbari, Uthman bin Hasan al Dimyati yang merupakan sandaran utamanya dalam periwayatan, Syeikh Muhammad bin al Husain al Habsyi, Syeikh Muhammad bin Ramadhan al-Marzuqi dan lain-lain lagi.
Demikian juga ramai di kalangan ahli ilmu dan ulama sezaman dengannya menjadikan beliau sebagai guru serta memohon ijazah daripadanya. Di antara mereka ialah Muhammad Tayyib al Naifar, Muhammad al Makki Azzuz, Sayyid Muhammad Said bin Muhammad Salim Babasil, Sayyid Salim al 'Aidarus, Syeikh Ahmad bin Uthman al Attar, Muhammad Zahir al Watari, Ahmad bin Ismail al Barzanji, Muhammad Imam bin Ibrahim al Saqa dan ramai lagi.

Galakan
Sayyid Ahmad Zaini Dahlan adalah seorang murabbi (pentarbiah) yang mengambil berat mengenai urusan ilmu dan dakwah Islam.
Beliau sentiasa memberi galakan kepada para penuntut ilmu agar belajar bersungguh-sungguh. Kegigihannya dalam menyebarkan dakwah Islam kelihatan jelas dalam usahanya melatih dan mendidik murid-muridnya membidangi ilmu-ilmu Islam di Mekah yang kemudiannya dihantar ke seluruh pelosok negeri bagi memperkenalkan Islam dan mengajar ilmu agama kepada masyarakat sehingga sampai ke ceruk-ceruk perkampungan di negara Hijaz, Yaman dan Syam.
Tidak cukup dengan itu, beliau telah melaburkan wang sakunya untuk membiayai perbelanjaan yang diperlukan oleh para pendakwah yang ditugaskan oleh beliau di sekitar kawasan pedalaman dan perkampungan Mekah.
Beliau juga telah menginfakkan hartanya bagi membiayai pembinaan masjid-masjid di kawasan tersebut serta menugaskan murid-muridnya melaungkan azan, mendirikan solat fardu serta mengajar umat Islam kaifiat menunaikan solat serta urusan-urusan agama yang lain.
Beliaulah juga yang berusaha dan menyarankan Sultan Maghribi Abu Ali al Hasan agar mencetak kitab Ittihaf al Sadah al Muttaqin bi Syarh Ihya' Ulumiddinkarangan al Hafiz Muhammad Murtadha al Zabidi yang merupakan syarahan bagi kitab Ihya' Ulumiddin apabila terdapat mesin percetakan kitab pertama di Mekah.

No comments:

Post a Comment