Smile

Follower List - Join my blog clik here

Friday 27 April 2012

Hassan al-Basri berani beri peringatan


HASSAN al-Basri atau nama lengkapnya Abbu Said al-Hassan ibnu Abi al-Hassan Yassar al-Basri, dilahirkan pada tahun 21 Hijrah/642 Masihi di Madinah. Ayahnya bernama Yassar, Maula Zaid bin Tsabit, iaitu seorang jurutulis wahyu, manakala ibunya bernama Khairah Maulat Ummul Mukminin Ummu Salmah
.
Beliau memiliki sifat-sifat terpuji dan ilmu pengetahuan yang luas dengan memperdalamkan ilmu agama Islam kepada ulama-ulama terkemuka.
Pada masa yang sama juga beliau telah mengadakan pertemuan dengan 70 orang perwira Perang Badar dan 300 orang sahabat Rasulullah SAW.

Pernah suatu ketika beliau pernah ditanya oleh Ali bin Abi Talib yang datang kepada beliau ketika pengajiannya.
Ali bertanya: "Hassan, aku ingin bertanya kepadamu mengenai dua perkara. Apabila engkau berjaya menjawab kedua-dua perkara itu engkau akan dapat meneruskan pengajianmu, dan jika sebaliknya, akan aku keluarkan kamu daripada pengajian ini."
Hassan mendiamkan diri sejenak, kemudian berkata: "Tanyalah wahai Amirul Mukminin."
Lalu Ali melanjutkan perbicaraan: "Ceritakanlah kepadaku tentang kebaikan agama dan apa yang dapat merosak agama."

Hassan menjawab: "Kebaikan agama adalah hidup yang warak dan yang merosak agama adalah hidup tamak."
Ali tersenyum dan memujinya serta berkata: "Engkau benar dan sekarang teruskanlah pengajianmu itu."
Hassan juga sering mendapat pujian terutama daripada Anas bin Malik, Abu Qatadah dan lain-lain yang sezaman dengannya.
Menurut Abu Naim al-Asfahani, Hassan adalah orang yang selalu takut dan berduka sepanjang hari, hidup zuhud dan warak dan tidak tidur dalam keadaan senang kerana mengingati Allah SWT, dan tidak meminta-minta.
Dalam perkara ini beliau pernah berkata: "Bagaimana kita tidak takut jika seluruh kehidupan ini akan dipertanggungjawabkan, sedangkan kehidupan itu sendiri amat pendek dan dibatasi oleh maut yang akan menjemput."

Manakala bagi orang yang beriman pula, menurutnya kehidupan dunia bukan untuk bersenang-lenang, tetapi persiapan dan peningkatan amal soleh dengan harapan akan diberi keampunan serta rahmat-Nya.
Beliau berpendapat bahawa manusia perlu prihatin di dunia serta memperteguhkan amal soleh, memperkuatkan zuhud dan menjauhi daripada kemurkaan Allah SWT.
Semuanya itu akan tertanam di benak sanubari di dalam diri manusia jika dapat memiliki iman dan ilmu. Iman dan ilmu merupakan suatu kemestian sebagai dasar bagi orang-orang yang mendekatkan diri kepada Allah sebagaimana yang ditegaskan dalam surah al-Faatir ayat 28.

Hassan al-Basri terkenal dengan keberanian memberi ingatan kepada penguasa termasuk Umar Hubairat yang diangkat menjadi Gabenor Iraq (722 M/103H), malah telah berjanji untuk senantiasa melaksanakan perintah Khalifah Yazid dengan memberi nasihat yang berbunyi: "Tanamkanlah perasaan gentar kepada Allah SWT, bukan kepada Yazid, sedang Yazid tidak akan mampu memisahkan anda daripada Allah SWT. Bila-bila masa sahaja Allah akan mengirim malaikat-Nya untuk meragut anda daripada pangkat, dan menarik anda dari istana yang luas untuk dibawa ke ruang kubur yang sempit."

Ketika menjelang pengakhiran hidupnya, beliau telah didatangi beberapa sahabat yang berkata: "Wahai Abu Said, bekalilah kamu dengan beberapa kalimat yang bakal memberikan manfaat kepada kami."
Maka Hassan pun berkata: "Aku membeli kalian dengan tiga kalimat iaitu apa pun urusan yang dilarang, hendaklah kalian orang yang paling jauh meninggalkannya.

"Kebaikan apa pun yang diperintah kepada kalian, hendaklah kalian melaksanakannya dengan giat.
"Dan ketahuilah ada dua langkah kepada kalian satu langkah yang menguntungkan dan satu lagi langkah yang mencelakan. Jadi kalian hendaklah memperhatikan ke manakah kalian akan melangkah di waktu pagi."
Hassan al-Basri selalu memberi pesan agar manusia sentiasa berwaspada terhadap dunia dan berhati-hati dengan 
segala 'tipu muslihat'.

Beliau meninggal dunia pada tahun 110 H/729 M di Basra.

No comments:

Post a Comment